Tuesday, January 22

Muqaddimah yang ku pinjam

Bismillah
Assalamualaikum wbt

Ku renung ke luar jendela, melihat kebesaranNya
Rahmat Tuhan mencurah lagi. Mataku terpaku pada titisan air yang beratur jatuh. Terkenangku betapa taat kepada sunnatullah gravity yang islam. Dalam senyap memuji mengagung Allah setiap detik.


Risauku melihat diri. Megah pohon merendang ubi di tanah kosong. Hidup ilmu melangit namun fikrah sejengkal tanah. Tidak ku rasa Allah berbicara melalui kalamnya. Pintu hati terkunci rapi, tidak terketuk walau bibir kumat kamit melafaz tatkala gelap fajar. Mungkin labah-labah jahiliyyah masih bersarang di ceruk-ceruk kelam hati ini. Ku cuba halau, lari namun bersarang kembali.


Sebuah Persona meluncur laju, terpercik air dari lopak jalanan. Mujur siramannya lemah. Si megah Mercedes meluru pantas meredah runtuhan hujan. Lopak berdasar pasir kering menyiram tubuhku yang sebatang ini. Hairan aku melihat si tua berjiwa kekanakan. Mengejar membanding mainan yang besar dan indah. Berbangga-bangga dengan cita-cita berlainan nilai. Bila iman tidak di paku pada tiang-tiang hati, roboh rumah pemikiran terkorban akhlak.


Alam kuyup dicurahi hujan. Pohon bersujud syukur. Ternakan berkaca mata mengintai rumput segar nun di sana. Orang bertanya. Jika selain Allah, manusia serta jin, semua alam belaka, apakah kisah kewujudannya? Apakah kisah manusia pula? “Semua untuk kegunaan kamu dan binatang ternak kamu” (80:32). Besarnya kisah manusia sekiranya mereka mengerti. Semua tersedia masakan malas bekerja?


Ku dongak ke dada langit tinggi. Sejuk air jernih terpalit di wajah walau mentari membahang di belakang langit gelam. Tidak terlintas di benak hati manusia alam yang tiada pilihan hidup dengan aman harmoni. Walhal manusia nan bebas berfikir geliga saling mengkhianat dan tikam menikam. Alangkah ruginya manusia. Ku percaya. Tentu bisa gerakan alam berlari seiring gerakanku dalam litar deen yang sama.


Tidak cukup jariku membilang usiaku kini. Sungguh materialistic diriku merancang kehidupan hanya sebelum ajal menyapa. Walhal akhirat infiniti tidak pernah ku lakar dalam lukisan masa hadapan. 70 tahun hanya celupan jari di lautan membiru. 70 tahun hanya batu jalanan dalam timbunan delima berkilau. Hadiah dunia bak seurat benang dalam timbunan kain bercorak. Tiada ditoleh Sang Pencipta.

Sinaran mentari dingin ditapis udara lembab. Berkilau butiran air di hujung dedaun melengkap pelangi petang. Bayang-bayangku ganjil panjang ke utara sujud bersama sekalian alam. Membesarkan Tuhan, pencipta diriku dan dirimu. Namun tiada kenal manusia bongkak dan alpa akan minority mereka di dunia. Lantas ku sucikan diri, membasahkan hati, sujud bersama mereka yang sujud.

InshaAllah. :)

2 comments: